Senin, 06 Mei 2013

Latar Belakang Bendera Dan Jata Negara Malaysia


Latar Belakang Bendera & Jata Negara Malaysia


Bendera Malaysia JALUR GEMILANG
Bendera negara Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Terengganu, Perlis, Selangor, Melaka, Sarawak, Pulau Pinang Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna Kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Di Raja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.




Jata Negara Malaysia

Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan, manakala bintang bersama-sama anak bulan itu tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris itu tanda Negeri-negeri Melayu yang Tiada Bersekutu dahulu (Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu).

Bahagian sebelah kiri perisai itu menandakan Negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka itu Negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri ini adalah sebahagian dari Negeri-negeri Selat dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu, warna-warna hitam dan putih ialah warna Pahang, merah dan kuning warna Selangor, hitam, putih dan kuning warna negeri Perak, merah, hitam dan kuning warna Negeri Sembilan.

Empat buah negeri ini ialah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Tiga Bahagian di sebelah bawah itu menandakan Negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah Bunya Raya - Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang di tunjukkan sebagai penumpang jata Negeri-negeri Melayu Bersekutu dahulu itu digunakan dalam Lambang Malaysia,

Cogan - Bersekutu Bertambah Mutu - ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat, bendera hanya dikibarkan pada tempoh dan waktu yang tertentu sahaja untuk memupuk semangat kenegaraan supaya rakyat Malaysia berasa megah dan menghormati bendera mereka.


Latar Belakang Bendera Negeri Wilayah Persekutuan


BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
Bendera ini mengandungi tiga jalur melintang yang sama lebar berwarna merah, putih dan biru dengan bulan bintang pecah empat belas berwarna kuning terletak di tengah bendera. Jalur-jalur merah, putih, biru dan bulan bintang berwarna kuning yang melambangkan warna Bendera Malaysia membawa makna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia. Bulan Bintang bermakna Agama Islam sebagai agama rasmi dan bintang pecah empat belas menggambarkan negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan bersatu dalam Persekutuan Malaysia.
  • Merah : Melambangkan keberanian bermakna Pulau Labuan adalah menjadi Wilayah Persekutuan di dalam Persekutuan Malaysia.
  • Putih : Melambangkan kesucian, keikhlasan dan kesungguhan dalam mempertingkatkan katahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia.
  • Biru : Melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum, hidup bersatu, aman makmur hormati serta berusaha untuk memajukan pembangunan ekonomi yang berasaskan sains dan teknologi.
  • Kuning : Melambangkan kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara.
  • Bulan Bintang : Bulan bintang berwarna kuning yang menjadi lambang keIslaman dan Kedaulatan Raja Berperlembagaan yang terletak di tengah-tengah dan mencakupi ketiga-tiga jalur (merah, putih, biru) menampakkan kestabilan dan kekuatan di dalam menyatukan lambang-lambang keberanian, kesucian dan perpaduan.


BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA
Bendera baru bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah berasaskan dua (2) warna utama iaitu biru dan kuning.Warna biru melambangkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.Manakala warna kuning bendera adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.Logo Persekutuan melambangkan Wilayah Persekutuan Putrajaya menjadi tonggak pentadbiran negara yang baru dengan kekuatan dan semangat yang utuh dalam mengharungi era globalisasi dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju.



BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah. Warna biru tua bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bulan sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bintang berbucu 14 melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan pentadbiran.
  • Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berbilang kaum.
  • Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif.
  • Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur.
  • Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman bercahaya

Latar Belakang Bendera dan Lambang Negeri-Negeri Malaysia


BENDERA NEGERI SABAH
Bendera Negeri Sabah berbentuk empat persegi bujur pada kada 1 : 2. Petak utama dalam bendera ini luasnya separuh bendera dan buka lebarnya 2/3 bendera. Petak ini berwarna biru salji sebagai latar belakang kepada bentuk Gunung Kinabalu berwarna nilakandi yang berada dalam kedudukan 1/4 dari sempadan atas dan sempadan bawah petak utama. Bahagian lain dalam bendera ini terbahagi kepada tiga jalur warna melintang yang mana jalur yang paling bawah memenuhi kaki bendera. Jalur paling atas berwarna biru zirkon, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.Warna biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman, putih melambangkan kemurnian dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara warna nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.Lima jenis warna itu melambangkan lima buah Bahagian Pentadbiran Negeri ini dan bentuk Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.


LAMBANG NEGERI SABAH
Lambang Negeri Sabah terdiri dari dua bahagian iaitu atas yang berupa dua lengan berwarna kuning sedang menjulang Bendera Negeri yang terletak di atas satu susunan lima warna Negeri iaitu biru zirkon, merah cili, putih, biru salji dan nilakandi. Di bawahnya iaitu tubuh utama lambang ini yang berbentuk sebuah perisai. Bahagian atas perisai ini tersusun tiga warna Negeri iaitu biru zirkon, putih dan merah cili dalam bentuk V. Bahagian bawah perisai ini terdapat bentuk Gunung Kinabalu berwarna nilakandi yang berlatarbelakangkan warna biru salji. Perisai itu dipangku oleh sehelai skrol berwarna merah yang tertulis dengan cogankata negeri Sabah "Sabah Maju Jaya" berwarna putih.Dua lengan yang menjulang Bendera Negeri itu melambangkan perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat berbagai kaum di negeri ini ke arah kemajuan dan kejayaan.Lima warna yang tersusun itu bermakna lima buah Bahagian Pentadbiran Negeri Sabah. Warna biru zirkon melambangkan keamanan dan ketenteraman, warna putih melambangkan kemurnian dan keadilan. Merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Biru Salji melambangkan perpaduan dan kemakmuran sementara nilakandi melambangkan kekuatan dan semangat kerjasama.Bentuk Gunung Kinabalu melambangkan Negeri Sabah.



BENDERA NEGERI SARAWAK

Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian maruah dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh.Warna kuning menggambarkan keagungan Perundangan dan Peraturan (Order), perpaduan serta stabiliti dalam masyarakat yang berbilang kaum.Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.Bintang yang berwarna kuning bermuncung sembilan melambangkan sembilan bahagian di mana rakyatnya tinggal di dalam harmonis.Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat kita dan hasrat perjuangan kita untuk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka.


LAMBANG NEGERI SARAWAK

Lambang negeri menjunjungkan kemegahan "Bumi Kenyalang: terbang tinggi dengan aspirasi dan pencapaian dalam semua lapangan daya usaha, berpandukan ideologi "politik pembangunan". Lencana negeri ini juga boleh membezakan keunggulan Sarawak daripada negeri-negeri lain di dunia.


BENDERA NEGERI TERENGGANU
Latar belakang berwarna putih maksudnya D.Y.M.M. Sultan. Ia melingkungi tanah hitamyang bermakna rakyat - oleh itu bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh rakyat baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri.




LAMBANG NEGERI TERENGGANU
Bulan bintang menunjukkan negeri Islam. Mahkota menandakan pemerintahan Di Raja. Pedang, Keris Panjang dan Cokmar pula merupakan Alat Kebesaran Negeri. Manakala di sebelah kanannya ialah Quran melambangkan Undang-undang. Buku Undang-undang di sebelah kiri pula melambangkan keadilan. Wali/Selampai melambangkan Alat-alat Istiadat Kebesaran.




BENDERA NEGERI SELANGOR
Empat bahagian yangberwarna kuning dan merah itu maksudnya daging dan darah iaitu unsur-unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula ialah sebagai Agama Islam, iaitu agama rasmi negeri dan kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna putih.



LAMBANG NEGERI SELANGOR
Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri. Tombak merah di tengah-tengah ialah Sambu-warna. Di sebelah kanan ialah Keris Pendek dan di Kiri pula Keris Panjang. Ketiga-tiganya adalah Alat Kebesaran Negeri. Tulisan Jawi yang berbunyi "Dipelihara Allah" ialah cogan negeri. Di bawah cogan pula ialah tali bengkong yang dipakai sebagai iakt pinggang oleh pahlawan-pahlawan zaman dahulu.




BENDERA PULAU PINANG
Warna biru muda maksudnya warna laut yang indah di sekeliling pulau itu. Warna putih maksudnya negeri Pulau Pinang yang aman damai. Warna kuning tanda kemakmuran. Pohon pinang ialh pohon dari mana pulau itu mendapat namanya.




LAMBANG NEGERI PULAU PINANG
Pohon pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar Jambatan Besar Pulau Pinang yang mempunyai dua (2) tiang dan empat (4) kabel yang menegakkan tiang tersebut. Dua (2) tiang ini melambangkan Serampang Dua Mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat (4) kabel pula menggambarkan empat (4) jenis keturunan di negeri ini iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain.Jalur-jalur biru dan putih yang menjadi simbol lautan berjumlah lima (5) tiap-tiap satu warna yang memberi makna simbol lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.



BENDERA NEGERI PERLIS
Warna kuning maksudnya D.Y.M.M. Raja. Warna biru maksudnya rakyat. Bendera itu maknanya kerjasama yang erat di antara Raja dengan Rakyat baginda.




LAMBANG NEGERI PERLIS

Lengkaran padi itu maksudnya pekerjaan utama dan hasil utama negeri iaitu padi. Perisai tanda kebanggaan negeri itu kerana kekayaan hasil padinya.



BENDERA NEGERI SEMBILAN
Tanah kuning itu maksudnya D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang berwarna merah bermakna rakyat. Sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.


LAMBANG NEGERI SEMBILAN
Sembilan tangkai padi di dalam perisai itu maksudnya sembilan buah negeri dalam Gabungan Negeri Sembilan yang lama. Warna merah dalam perisai menunjukkan hubungan-hubungan pada masa yang lalu dengan British. Warna hitam maksudnya Datuk-datuk Undang. Warna kuning maknanya Yang Di Pertuan Besar. Bintang Pecah Sembilan itu adalah juga menunjukkan sembilan buah negeri dalam gabungan lama. Pedang dan sarungannya di atas perisai itu tanda keadilan. Di tengah-tengah antara pedang dan sarung ialah "Changgai Putri" tanda Kebesaran Yang Di Pertuan Besar.


BENDERA NEGERI MELAKA
Warna-warna merah, putih, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan dan menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan dan bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.


LAMBANG NEGERI MELAKA

Warna merah, putih, kuning dan biru maknanya Melaka sebuah negeri dalam Malaysia. Lima bilah keris maksudnya lima orang pahlawan termasyhur di Melaka pada zaman dahulu. Anak bulan dan bintang pecah lima tanda Agama Islam, agama rasmi negeri. Pokok Melaka ialah pohon dari mana negeri itu mendapat namanya. Dua ekor pelandok yang memegang perisai ialah untuk memperingati riwayat tua iaitu pelandoklah yang telah menyebabkan Raja Melaka yang pertama mengambil keputusan untuk menetap dalam negeri ini dan membukanya.




BENDERA NEGERI KELANTAN

Latar belakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk, rakyat Raja. Lambang kebesaran berwarna putih itu tanda kesucian Raja negeri ini.


LAMBANG NEGERI KELANTAN
Mahkota itu tanda Kedaulatan Sultan. Dua tombak dan dua keris maksudnya kekuatan orang-orang Melayu Kelantan. Anak bulan dan bintang adalah tanda Islam. Dua pucuk meriam maknanya bahawa negeri ini adalah sentiasa sedia untuk mempertahankan dirinya. Dua ekor kijang mengingatkan kembali kepada sejarah tua negeri ini tatkala Che' Wan Kembang (atau Che' Siti) Permaisuri Kelantan (kira-kira pada akhir kurun yang ke 14) yang kerana terlalu kasih kepada kijang kesayangannya, telah memerintahkan wang emas dicap dengan gambar binatang itu.
"BERSERAH KEPADA TUHAN KERAJAAN KELANTAN" ialah cogankata negeri ini.


BENDERA NEGERI PAHANG
Bendera negeri Pahang Darul Makmur mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah. Kedua-duanya sama lebar.Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada Raja sebagai negeri beraja dan berdaulat.

LAMBANG NEGERI PAHANG


Mata cogan berbentuk daun kopi itu semuanya diperbuat daripada emas termasuk penongkok dan taran.Tujuan dipilih logam emas itu ialah melambangkan bahawa dalam tahun 1862 emas merupakan hasil masyur yang utama di Negeri Pahang.Keduanya tiada kebal yang boleh menahan senjata yang diperbuat dari emas.Gading yang bersilang dibawah daun kopi itu melambangkan bahawa ketika itu gading gajah terdapat dengan banyaknya serata negeri Pahang sehingga ia menjadi satu perdagangan yang besar.Kalimah " Ya La Tif " bermaksud yang lemah lembut.Simboliknya pemerintah tidak menggunakan kekerasan." Ya La Tif " juga dijadikan azimat yang berguna.


BENDERA NEGERI PERAK

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.
LAMBANG NEGERI PERAK

Lambang Negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi Jata Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Jata ini dilingkungi dengan bulan sabit yang mengandungi bunga padi.Jata melambangkan Kedaulatan Raja Pemerintah.Bulan Sabit menandakan Agama Islam sebagai agama rasmi.Bunga padi menggambarkan sumber perusahaan rakyat dan kesuburan negeri.


BENDERA NEGERI KEDAH

Bendera negeri memaparkan bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam. Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya


LAMBANG NEGERI KEDAH

Lengkaran itu maksudnya padi, tanaman utama negeri ini. Anak bulan tanda Agama Islam. Perisai pula tanda kekuasaan.


BENDERA NEGERI JOHOR

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.


Mahkota tanda D.Y.M.M. Raja Empat Bintang di sudut Perisai Putih itu menandakan Empat Buah Jajahan besar asal negeri itu, iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau; sementara Bintang dan Anak Bulan di tengah pula, tanda Agama Islam. Dua ekor Harimau yang memegang perisai itu mengingatkan kepada binatang-binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di negeri ini. Lukisan yang berbunga-bunga di sebelah bawah perisai maksudnya Gambir dan Lada Hitam, dua jenis hasil utama yang asal bagi negeri ini.

Senin, 18 Februari 2013

kerja PSK


TEMA 1: 
PENCAPAIAN KENDIRI
WAWASAN DIRI
1.Wawasan diri merujuk kepada suatu pandangan masa depan yang jauh dengan
    matlamat yang pasti.
2.Wawasan diri yang positif harus dibina dengan:
·         mengetahui kekuatan dan kelemahan diri.
·         menyedari minat peribadi.
·         mengenali personaliti diri.
3. Wawasan diri dapat dicapai dengan menentukan matlamat yang ingin dicapai,
     menggariskan rancangan yang perlu diambil dan senarai tindakan terhadap rancangan
      tersebut.
4.  Matlamat merupakan sesuatu yang dapat dilaksanakan dan mesti bersesuaian dengan
     minat dan kebolehan individu.
5.  Rancangan merupakan garis panduan yang perlu dilaksanakan untuk merealisasikan
     wawasan ini.
6.  Tindakan merupakan usaha yang dilaksanakan untuk setiap rancangan yang digariskan .7. Kepentingan mempunyai wawasan diri:
·         menjadi pendorong untuk kita mencapai cita-cita.
·         Menjadi panduan untuk mendisiplinkan diri.
·         Membantu kita merancang strategi atau langkah supaya lebih teratur dan berkesan.
·         Membantu merealisasikan wawasan negara iaitu Wawasan 2020.
·         Membantu kita mencapai kecemerlangan dalam hidup.
8. Kita hendaklah menentukan wawasan diri yang bersesuaian dengan kebolehan, minat dan kemahiran yang dimiliki.

PERKEMBANGAN DIRI YANG SEIMBANG
1.  Perkembangan diri yang seimbang merujuk kepada usaha melahirkan individu yang
     seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
2.  Individu yang seimbang merupakan individu yang berilmu pengetahuan dan
     berkemahiran, berakhlak baik dan mulia, bertanggungjawab serta cergas tubuh
     badannya.
3.  Intelek merujuk kepada aspek perkembangan minda seseorang untuk berfikir dan
     memahami sesuatu. Perkembangan ini dapat dicapai dengan menambahkan ilmu dan
     memperoleh pengalaman.
4.  Rohani merupakan perkembangan perasaan dan hati yang berkaitan dengan jiwa atau
     naluri manusia. Rohani dapat dikembangkan dengan amalan agama, norma
     masyarakat, pantang-larang dan undang-undang.
5.  Emosi merupakan unsur semulajadi yang ada pada manusia iaitu pengawalan perasaan seperti sayang, marah, takut, cinta, benci dan sebagainya.  Manusia perlu mengawal emosi agar tidak mendatangkan tindak balas yang negatif daripada pihak lain.
6. Perkembangan tubuh badan dikenal sebagai jasmani.  Tubuh yang sihat akan mewujudkan intelek yang baik, emosi yang terkawal dan waktu rehat yang mencukupi serta riadah yang sistematik akan menghasilkan jasmani yang sihat.
7.  Keempat-empat aspek ini penting untuk menikmati kehidupan yang sejahtera.

TEMA 2:
HUBUNGAN KEKELUARGAAN

KEPERLUAN BERKELUARGA
1.Keluarga merupakan asas atau terkecil yang membentuk sesebuah masyarakat.
2.Keluarga juga merupakan komuniti pertama yang mula dikenali oleh anak-anak.
3.Setiap anggota keluarga memainkan peranan penting untuk mengukuhkan institusi keluarga.
4. Keluarga bahagia, berkualiti dan cemerlang dapat dilahirkan jika setiap anggota keluarga mengetahui tanggungjawab masing-masing.
5. Pelbagai cara boleh dipraktikkan bersama bagi mengukuhkan institusi keluarga.  Antaranya ialah
beriadah bersama, makan bersama.
meraikan hari istimewa bersama-sama.
Berkongsi suka duka bersama-sama.
Saling membantu dan bekerjasama sesama anggota keluarga dan lain-lain lagi.
6. Keperluan berkeluarga boleh dilihat dari tiga aspek.
POLITIK
Menjadi ketua dan pemimpin kepada keluarga.
Melahirkan bakal pemimpin atau pelapis negara.
Melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan berguna kepada bangsa dan negara, menyediakan anggota tentera untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
EKONOMI
Menyediakan tenaga kerja dalam negara.
Menyediakan pengguna dan pembeli barang untuk mengembangkan ekonomi negara selain meluaskan pasaran pengguna.
SOSIAL
Melahirkan zuriat bagi mengembangkan unit keluarga.
Memenuhi tuntutan agama bagi mendirikan keluarga secara sah.
Menggelakkan gejala tidak sihat seperti anak luar nikah, bersekedudukan dan pembuangan bayi.
Menambahkan rakyat dalam sesebuah negara.

TEMA 3: HIDUP BERMASYARAKAT
KEPEKAAN DAN TINDAKAN TERHADAP ISU DAN MASALAH SOSIAL DALAM MASYARAKAT.
1.Terdapat pelbagai isu dan masalah social yang mengancam masyarakat terutamanya remaja.
2.Antara masalah sosial tersebut berikut:
Penyalahgunaan dadah.
Penderaan
Penyalahgunaan teknologi.
Pergaulan bebas.
Vandalisme
Gengsterisme.
3. Antara punca-punca yang mengakibatkan timbulnya pelbagai isu dan masalah sosial dalam masyarakat:
Kepincangan keluarga.
Pengaruh rakan sebaya.
Pengaruh budaya kuning dari barat.
Tiada pegangan agama yang kukuh.
4. Gejala sosial ini akan membawa kesan yang buruk terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara kerana ia mengancam keselamatan, kestabilan dan keamanan serta merugikan negara.
5. Terdapat pelbagai usaha yang dilakukan bagi membasmi gejala sosial negatif:
Mengadakan kempen kesedaran.
Menguatkuasakan undang-undang.
Memberikan didikan agama dan moral.
Memberi khidmat nasihat dan kaunseling.
Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan baik iaitu memberi perhatian dan kasih sayang.

PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG DALAM MASYARAKAT
1. Norma komuniti merupakan peraturan dan amalan-amalan yang menjadi kebiasaan dan diterima oleh komuniti.
2. Antara amalan norma komuniti dalam masyarakat.
Adab dalam majlis rasmi dan di meja makan.
Amalan bergotong-royong.
Amalan membuka kasut sebelum masuk rumah.
Anak-anak menghormati dan mentaati ibu bapa atau orang yang lebih tua.
Dilarang melakukan jenayah yang salah di sisi undang-undang.
3. Peraturan pula adalah segala yang ditetapkan sama ada secara lisan atau bertulis dan harus dipatuhi oleh setiap anggota masyarakat.
4 Antara kepentingan norma komuniti, peraturan dan undang-undang dalam masyarakat adalah:
Membentuk anggota masyarakat yang beradab, beretika, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Menjamin kesejahteraan dan keharmonian sesebuah negara.
Membimbing dan mendorong kehidupan yang lebih baik dan sempurna.
Mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Mengawal tingkah laku dan perlakuan serta kehidupan dalam sesebuah komuniti.
5.  Jenayah juvana merujuk kepada perlakuan jenayah atau antisocial yang dilakukan oleh golongan juvana yang berusia di bawah 18 tahun.
6.  Pesalah juvana lazimnya tidak akan dikenakan hukuman penjara sebaliknya akan dihantar ke pusat pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney yang dikelolakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

TEMA 4: WARISAN KEPELBAGAIAN BUDAYA MALAYSIA
PRINSIP-PRINSIP PENTING DALAM AJARAN PELBAGAI AGAMA
1. Agama merupakan pegangan hidup manusia.  Prinsip, amalan dan nilai yang terkandung dalam agama tersebut dijadikan panduan dalam menjalani hidup dan seterusnya dalam menghadapi cabaran.
2. Agama rasmi negara kita ialah agama Islam, namun agama-agama lain bebas diamalkan secara aman.  Malaysia kaya dengan pelbagai agama seperti agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh, ajaran Confucius dan Taoist.
3. Kesemua agama memberi panduan dan ajaran agar penganutnya menjadi manusia yang baik, taat kepada ajaran agama masing-masing dan mengamalkan nilai-nilai murni untuk mencapai kecemerlangan diri.
4. Agama Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil kepada manusia lain dan menyebarkan ilmu yang dimiliki kepada orang lain tanpa mengira waktu.
5.   Nilai lain yang ditekankan oleh agama Islam ialah tidak bersifat pilih kasih, bersifat ihsan, sentiasa sabar untuk menghadapi segala penderitaan dan kesusahan, merendah diri dan tidak memandang rendah pada orang lain, selain benar dan amanah.
6.  Agama Buddha pula menekankan keyakinan yang berdasarkan kepada pengetahuan. Seseorang penganut agama Buddha mestilah mempunyai pemikiran yang rasional dan mengambil keputusan yang bijak tanpa menyusahkan diri sendiri dan orang lain.
7.  Ajaran Hinduisme mengajar penganutnya untuk mempercayai Tuhan dan segala-galanya datang daripada Tuhan dan Tuhan akan memberikan keputusan yang bijak tanpa menyusahkan diri sendiri dan orang lain.
8.   Agama Kristian juga mengajar umatnya untuk mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan serta berkhidmat untuk masyarakat agar sentiasa dirahmati Tuhan.

KEPENTINGAN AMALAN-AMALAN TERTENTU DALAM PERAYAAN PELBAGAI KAUM
1. Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang kaya dengan pelbagai perayaan.
2. Perayaan-perayaan yang disambut setiap tahun ini mempunyai keunikannya tersendiri dan ia dirayakan bersama-sama dengan kaum lain dengan perasaan muhibah dan perpaduan.
3. Antara perayaan-perayaan penting yang disambut di negara ini ialah Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deevapali, Thaipusam, Hari Wesak, Krimas, Hari Raya Aidil Adha, Hari Gawai, Tadao Keamatan, Perayaan Ponggal dan Vaisakhi.
4. Keunikan ini juga menjadi daya penarik pelancong ke negara kita.
5. Amalan baik kampung menjadi tradisi semua kaum apabila menjelangnya sesuatu perayaan untuk meraikannya dengan keluarga dan sanak-saudara.
6. Amalan ziarah-menziarahi merupakan fenomena yang biasa ketika sambutan perayaan.  Secara tidak langsung perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
7. Islam menyarankan umatnya memohon maaf ketika perayaan Hari Raya Puasa.  Amalan ini dapat menjernihkan sebarang perselisihan faham dan memulihkan kasih sayang antara anggota keluarga.
8. Semangat komuniti atau kemasyarakatan dapat dilihat ketika sambutan perayaan-perayaan ini. Amalan memakai pakaian dan memasak makanak tradisional menyerikan lagi sambutan tersebut.
9. Mengadakan rumah terbuka merupakan satu lagi amalan yang sering diadakan oleh kerajaan Malaysia untuk menjalinkan perpaduan antara kaum. Pelbagai acara dan aktiviti serta juadah tradisional akan dihidangkan untuk semua lapisan masyarakat.
10. Amalan-amalan ini mewujudkan rasa hormat, persefahaman dan tolak ansur antara pelbagai kaum di negara ini.

KELEBIHAN SAMBUTAN PELBAGAI PERAYAAN
Mengeratkan hubungan pelbagai kaum.
Mengekalkan amalan dan tradisi setiap kaum.
Mewujudkan perasaan hormat, toleransi dan saling faham-memahami antara kaum.
Daya penarik pelancong.

AMALAN-AMALAN PENTING KETIKA PERAYAAN
HARI RAYA AIDILFITRI
Wajib berpuasa selama sebulan (bulan Ramadan) sebelum berhari raya.
Membayar zakat fitrah.
HARI RAYA AIDILADHA
Menunaikan solat sunat Aidiladha pada pagi hari raya.
Penyembelihan binatang akan dilakukan dan dagingnya akan disedekahkan kepada fakir miskin dan jiran-jiran yang beragama Islam.
TAHUN BARU CINA
Mengadakan makan besar bersama semua angggota keluarga .
Tradisi mengunjungi dan memberi angpau kepada mereka yang belum berkahwin.
HARI DEEPAVALI
Menyalakan pelita di kawasan rumah.
Amalan mandi minyak geliga bertujuan untuk penyucian badan dan pembuangan dosa.
HARI KRIMAS
Menghias pokok Krimas dan bertukar-tukar hadiah dengan kaum keluarga.
Berkumpul bersama keluarga untuk makan malam.
TADAO KEAMATAN
Mengadakan upacara kepada semangat padi sebagai tanda kesyukuran.
Menjamu makanan tradisional dan minuman tapai.
HARI GAWAI
Mengadakan upacara sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran .
Menghidangkan air tuak.
HARI VAISAKHI
Berkumpul untuk mendapat restu daripada guru di Gudwara.
Menggantikan bendera suci di Gudwara.
Membaca kitab suci (Guru Granth Sahib)




TEMA 5: KEPENTINGAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada pembentukan kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini.
Kedudukan perlembagaan adalah lebih tinggi dan mengatasi kekuasaan Yang di- Pertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Mahkamah.
Perkara 75 menyatakan mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan akan terbatal dengan sendirinya.
Ciri-ciri Perlembagaan Malaysia:
Peraturan atau prinsip asas yang menjadi penentu pentadbiran sesebuah negara.
Menentukan pembahagian kuasa dan pelaksanaan kuasa sesebuah pemerintahan.
Sumber kepada penggubalan undang-undang negara.
POLITIK
menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik.
Menjamin pentadbiran dan pemerintahan yang cekap, adil dan telus.
Menjamin kerjasama antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.
Merupakan panduan pemerintahan negeri.
Menjamin keselamatan dan keamanan rakyat.
EKONOMI
Memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum.
Kestabilan politik menjamin perkembangan ekonomi.
Kestabilan politik juga menarik kedatangan pelabur luar.
SOSIAL
Mewujudkan integrasi yang membentuk negara dan bangsa yang bersatu padu dan taat setia kepada negara.
Menjaga dan memelihara hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Menjamin keselamatan dan keamanan rakyat.

PERUNTUKAN UTAMA PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Perlembagaan Malaysia terbahagi kepada 15 bahagian dengan 183 perkara.
Peruntukan utama Perlembagaan Malaysia merangkumi bahasa, agama, kewarganegaraan,hak asasi, kedudukan istimewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

BAHASA
Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Bahasa Malaysia digunakan untuk maksud dan tujuan rasmi, namun penggunaan bahasa lain tidak ditegah.

AGAMA
Agama Islam sebagai agama rasmi negara, namun semua orang bebas mengamalkan dan menganuti agama masing-masing.
 Raja/Sultan ialah ketua agama Islam.
KEWARGANEGARAAN
·         Mempunyai taraf keanggotaan sesebuah negara.
·         Setiap warganegara mempunyai tanggungjawab dan hak terhadap negara.
·         Tanggungjawab utama warganegara ialah mempertahankan dan menjunjung perlembagaan.
HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA SABAH DAN SARAWAK
Tiga perkara menjadi hak keistimewaan utama, iaitu peluang dalam perkhidmatan awam, ekonomi dan pelajaran.
Kedudukan istimewa orang Melayu- berhubung dengan tanah rizab.
HAK ASASI
Kebebasan beragama- setiap individu bebas mengamalkan agama masing-masing.
Kebebasan diri- setiap individu yang tidak bersalah di sisi undang-undang tidak boleh diambil nyawanya, dipaksa kerja, dihukum, dibuang negeri, dihalang bersuara, dilarang berkumpul dan ditegah menubuhkan persatuan.
Kebebasan ekonomi- setiap individu bebas menjalankan aktiviti ekonomi selagi tidak bertentangan dengan undang-undang negara.

TEMA 6: CABARAN MASA DEPAN
PENGGUNA RASIONAL
Pengguna ialah mereka yang menggunakan barangan atau perkhidmatan yang ada di pasaran.
Pengguna rasional merujuk kepada pengguna yang pandai membuat keputusan, bermaklumat dan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan.  Pengguna rasional selalunya akan berbelanja secara berhemah dengan membuat bajet dan mengikut keperluan serta kemampuan.
Pengguna yang bijak seharusnya mengetahui haknya dan bertindak dengan bijaksana. Terdapat 8 hak pengguna:
Hak mendapatkan keperluan asas.
Hak untuk bersuara.
Hak mendapatkan jaminan keselamatan.
Hak untuk mendapatkan ganti rugi.
Hak mendapatkan maklumat.
Hak untuk mendapat pendidikan kepenggunaan.
Hak membuat pilihan.
Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.
Etika pengguna dan pengeluar bermaksud membudayakan standard kepenggunaan dalam kehidupan seharian.  Sebagai pengguna yang beretika, kita tidak harus membeli barangan seludup atau curi.
Pengeluar perlu mematuhi kod etika semasa menguruskan perniagaan dan harus mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia.
Standard amat penting untuk menyelaraskan pembuatan sesuatu produk supaya kehidupan lebih selamat dan terjamin.
KPDNHEP merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan pengguna daripada penindasan peniaga.
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia telah diwujudkan untuk melindungi hak pengguna dengan menyediakan alternatif selain mahkamah bagi pengguna menuntut ganti rugi.
Pengguna juga harus peka dan mengambil inisiatif untuk memperluaskan pengetahuan mereka agar tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga atau pengeluar.